Tugas utama seorang pengajar atau guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi tugas ini, pengajar atauguru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat meransangkan minat pelajar di samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar.
Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan pelajar yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Hal ini memerlukan kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi memeransangkan pelajar belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna.
Kadangkala hal sedemikian tidak berlaku dalam Pendidikan Khas. Ada sebilangan guru yang mengambil kesempatan dengan ketidakupayaan murid. Mereka mengambil jalan yang mudah dan mengajar dengan sambil lewa sahaja. Tidak ada persediaan dan beranggapan tidak perlu bersusah payah mengajar kerana mereka pasti tidak cemerlang seperti murid aliran perdana. Tidak perlu tetapkan target kerana mereka sememangnya tidak ada pencapaian. Sikap beginlah menjadikan persepsi guru aliran perdana dan pihak pentadbir semakin berat sebelah .
Terdapat guru yang melengahkan masa untuk masuk ke dalam kelas, dan ada juga yang masuk tetapi tiada pengisian yang diterima oleh murid tersebut. Pengajaran tidak berlaku biasanya guru akan mengambil latihan di dalam buku yang dibeli dan difotostat untuk semua muridnya. Kemudian, murid akan diarah menyiapkan latihan tersebut sementara guru membuka laptop dan melayari internet. Hal ini sememangnya amat tidak patut dilakukan oleh guru walaupun mereka menganggap pengajaran akan menjadi sia - sia kerana murid cepat lupa. Bagi guru yang prihatin, memang akan digunakan latihan di dalam buku namun perlu mempunyai pengisian dan mengajar dahulu murid berkaitan pengajaran tersebut. Betulah jika pihak pentadbir mengatakan murid Pendidikan Khas setiap hari asyik mewarna.
Selain daripada itu, hasil kerja murid tidak dinilai dengan betul. Memberi tugasan kepada hanya sebagai umpan untuk duduk diam sahaja. Murid tidak dibimbing dengan baik dan seperti yang sepatutnya. Guru Pendidikan Khas sendiri memandang rendah kepada kemampuan muridnya apatah lagi orang lain.
Isu seterunya berkaitan dengan pengawasan dan tanggungjawab guru selepas waktu mengajar mereka. Walaupun bukan tugas guru biasa untuk mengawasi murid selepas waktu mengajar, ia berbeza dengan pendidikan khas. Murid ini perlu diawasi setiap masa namun bukan perlu memegangnya, cuma diperhati dan menegur sekiranya salah. Namun, kebanyakan guru tidak menghiraukan perkara tersebut dan memandang sebelah mata sahaja sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Selalunya tugas ini akan ditolak terus kepada pembantu pengurusan murid dan guru pula duduk rehat dan melayari internet ataupun berborak sesama sendiri. Berbeza pula bagi guru yang prihatin,mereka akan mengiringi muridnya ke kantin dan mengawasi agar tidak berlaku pergaduhan atau menganggu murid lain.
Cadangan Mengatasi
Guru pendidikan khas merupakan individu yang paling penting di dalam kelas pendidikan khas. Sebagai pendidik mereka perlu merancang proses pengajaran mereka dengaan baik. Mereka perlu tingkatkan kemahiran dan memperbaiki mutu proses pengajaran. Guru perlu mewujudkan suasana yang kondusif supaya murid dapat belajar dengan selesa dan kondusif.
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas atau Penyelaras memainkan peranan penting memantau dan memberi teguran serta menasihati guru-guru supaya yang melakukan kesilapan. Mereka perlu diberi kesedaran dan pengetahuan mengenai tugas dan tanggungjawab seorang guru Pendidikan Khas.
Guru yang cemerlang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar. Mereka perlu menguasai dan menghayati sepenuhnya kandungan mata pelajaran kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenalpasti keperluan dan masalah pengajaran dan pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Guru yang berwawasan mestilah proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.
Juga dicadangkan sekiranya ada guru yang menghadapi masalah dalam proses pengajaran, mereka perlu dibimbing cara melaksanakan pengajaran yang sesuai dengan keupayaan murid Pendidikan Khas. Terutama sekali bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih. Mereka ini juga memerlukan guru pembimbing bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan proses pengajaran.
Selain daripada itu pihak pengurusan boleh mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah rintis sebagai penanda aras untuk memantapkan lagi profesion keguruan. Di samping itu juga digalakkan menghadiri sebarang kursus, bengkel atau seminar yang dianjurkan oleh badan-badan lain termasuk NGO sebagai pemantapan dalam ilmu pengetahuan.
No comments:
Post a Comment