Holla..!!! Jom kita ketahui hubungan kolaborasi dalam Pendidikan Khas.
DEFINISI KOLABORASI
DEFINISI KOLABORASI
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2007), kolaboratif membawa maksud erat dari segi kerjasama antara dua
pihak ataupun lebih. Definisi ini merujuk kepada kerjasama ke arah melaksanakan
aktiviti kebaikan. Kolaborasi menurut pandangan umum ialah perkembangan dan
pengekalan sesuatu yang positif, perhubungan egalitarian iaitu membawa maksud bahawa semua orang
dilayan sama rata dan dengan itu
mestilah mendapat hak dan peluang yang sama, dan saling bekerjasama dalam
membantu, menyelesaikan masalah dan perkongsian dalam membuat keputusan melalui
perundingan.
Kanak-kanak
keperluan khas memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak untuk memberi khidmat
sokongan kepada mereka. Pihak-pihak yang
terlibat terdiri daripada ibu bapa, guru, pihak kerajaan, pihak bukan kerajaan,
masyarakat dan lain-lain. Mereka ini terlibat secara langsung dan tidak langsung
dalam membantu dan memberi sumbangan kepada kanak-kanak khas.
Hubungan
kolaborasi antara pelbagai pihak dalam pendidikan khas amat penting untuk mengenal
pasti kanak-kanak pendidikan khas dan kebajikan mereka dijaga dengan baik. Hal
ini kerana kanak-kanak ini sentiasa terpinggir dan kurang mendapat
keperihatinan orang ramai disebabkan kekurangan yang mereka miliki. Hubungan
kolaborasi ini juga adalah untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh
kanak-kanak kurang upaya dan sama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan
masalah tersebut.
Seterusnya,
untuk merangka program pendidikan dan aktiviti untuk murid-murid khas yang
mantap dari segi perlaksanaannya hasil gabungan pelbagai pihak dan menjadikan
program tersebut berkualiti dari sudut pengisian serta berjaya melahirkan
kanak-kanak pendidikan khas yang berpengetahuan. Program yang dirangka turut
merangkumi pelbagai aspek yang penting dalam membantu perkembangan pendidikan
khas di Malaysia. Dari program ini jugalah kanak-kanak diberikan latihan
kemahiran dan kemudahan peralatan dalam pembelajaran mereka.
Tujuan
kolaborasi ini turut untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan khas
untuk murid-murid dengan keperluan khas, menyediakan pendidikan yang sesuai dan
relevan kepada setiap murid, mengembangkan bakat dan potensi murid, dan
menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi dan terkini.
Akhir
sekali, kolaborasi boleh disimpulkan sebagai usaha daripada pelbagai pihak
untuk menjaga dan melindungi kepentingan kanak-kanak pendidikan khas. Kanak-kanak
ini memerlukan bantuan dan khidmat sokongan dari semua pihak kerana mereka
turut layak mendapat layanan dan hak yang sama seperti kanak-kanak normal.
Kekurangan yang mereka miliki tidak seharusnya menjadi halangan untuk mereka
tidak mendapat perhatian yang seharusnya mereka peroleh.
KOLABORASI ANTARA PELBAGAI PIHAK
DAN AGENSI
IBU BAPA
Daripada
beberapa artikel yang saya baca, ibu bapa merupakan insan yang paling penting
dalam mendidik anak-anak. Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak
dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan membantu
mengekalkan kejayaannya. Ianya mampu memberikan kesan yang positif terhadap
perkembangan anak-anak dengan seimbang dari aspek tingkah laku dan afektif.
Ibu
bapa berperanan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak
seperti disleksia, hiperaktif dan lain-lain kerana masalah ini dapat dikesan
sejak kecil oleh ibu bapa dan ibu bapa harus mendapatkan khidmat nasihat
daripada pakar perubatan dan pihak profesional untuk merawat penyakit yang
dihadapi. Kemungkinan untuk kanak-kanak ini sembuh adalah amat besar jika
mendapat rawatan yang awal.
Menjaga
anak-anak kurang upaya semestinya merupakan cabaran yang besar bagi ibu bapa. Namun,
ibu bapa harus tetap menjaga kanak-kanak tersebut dengan baik dan tidak hanya
bergantung kepada guru di sekolah semata-mata untuk mendidik anak-anak ini. Ibu
bapa harus menjaga pemakanan, kawalan tingkah laku dan emosi anak-anak mereka.
Hal ini kerana ia amat penting dalam membantu perkembangan mental dan fizikal
yang baik kanak-kanak. Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa
bersama dengan anak-anak bekeperluan khas ini. Mereka memerlukan lebih
perhatian dan bimbingan yang berterusan supaya menjalani kehidupan yang kebih
bermakna.
Daripada
artikel yang saya peroleh dari blog Laman E-Ilmu, ibu bapa digalakkan untuk
melibatkan diri dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan
masalah anak contohnya, Persatuan Syndrome Down, NASOM dan lain-lain lagi. Dengan
ini ibu bapa dapat berbincang dengan ibu bapa lain yang mempunyai masalah yang
sama ditanggung sama ada masalah dari segi kesihatan, cara pengurusan
anak-anak, perkembangan dan pendidikan anak-anak. Ia mampu memberi idea baru
dalam mendidik anak-anak berkeperluan khas ini.
GURU
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) guru merupakan orang yang mengajar, pendidik,
pengajar dan juga pengasuh. Guru berperanan sebagai pendidik kedua selepas ibu
bapa dan bertanggungjawab untuk mengajar kanak-kanak serta amat memberi impak
yang besar dan mendalam dalam diri pelajar jika pembelajaran yang diajar
berkesan.
Pertama,
guru pendidikan khas harus menggunakan kaedah yang berlainan untuk mengajar
kanak-kanak khas kerana mereka mempunyai tahap pemikiran yang lebih rendah
berbanding kanak-kanak biasa. Kanak-kanak ini memerlukan alat bantu mengajar
untuk menarik minat mereka untuk belajar dan meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, menggunakan pendekatan melalui muzik
dan gambar.
Daripada
artikel yang saya baca dalam Utusan Malaysia 2011 secara atas talian, guru
pendidikan khas harus menggunakan pendekatan kreatif dan kritis serta kaedah
pengajaran yang tersendiri kerana kanak-kanak istimewa memerlukan suasana
pembelajaran yang menarik untuk belajar supaya tidak mudah jemu dan bertindak
di luar kawalan. Guru Pendidikan Khas juga perlu sentiasa mencatat perkembangan
anak-anak murid dari semasa ke semasa supaya peningkatan yang berlaku dalam
pembelajaran mereka dapat dikongsi bersama-sama ibu bapa dan menunjukkan
keberkesanan guru itu dalam pengajarannya.
Oleh
itu, guru sebagai pembimbing kepada murid-murid harus mempunyai ciri-ciri guru
yang baik seperti penyayang, cekap dalam melakukan tugas, sabar, prihatin, dan
bertanggungjawab untuk melahirkan guru mesra OKU. Walaupun menjadi guru Pendidikan
Khas amat mencabar dari segi fizikal dan menta,l namun dengan kejayaan
murid-murid walaupun hanya sekadar mengurus diri sendiri merupakan kejayaan
terbesar dan tidak ternilai buat guru itu. Dengan berkat kesabaran guru dalam
mendidik, murid-murid ini telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan
oleh guru tersebut.
SEKOLAH
Sekolah
merupakan insititusi pengajian untuk pelajar-pelajar menimba ilmu. Pelbagai
program Pendidikan Khas yang telah disediakan untuk kanak-kanak khas iaitu yang
mempunyai masalah penglihatan, masalah pendengaran dan masalah pembelajaran
dengan mewujudkan sekolah khas, program Pendidikan Khas integriti dan program Pendidikan
Khas dengan pendekatan insklusif.
Pihak
sekolah memainkan peranan yang amat penting untuk melahirkan kanak-kanak khas
yang mampu berdikari dan menguruskan diri sendiri. Dengan itu, pihak sekolah
perlu menyediakan tempat belajar atau bilik khas untuk kanak-kanak Pendidikan
Khas. Mereka memerlukan suasana yang menarik untuk belajar yang lengkap dengan
peralatan-peralatan atau alat bantu mengajar untuk kanak-kanak ini belajar.
Pihak sekolah turut perlu menyediakan dana dan sistem kewangan untuk
murid-murid khas supaya segala keperluan mereka di sekolah dapat dipenuhi.
Daripada
beberapa artikel yang saya baca dalam internet, pihak sekolah juga perlu
sentiasa mengadakan rundingan dan perbincangan bersama-sama ibu bapa mengenai
anak-anak mereka serta bersama-sama mencari jalan untuk meningkatkan tahap
pembelajaran kanak-kanak istimewa ini. Kemudahan-kemudahan turut perlu
disediakan oleh pihak sekolah seperti pusat sumber yang menyediakan buku bacaan
bergambar, kad dan alat permainan, taman permainan dan kemudahan-kemudahan lain
untuk menambah minat mereka untuk datang ke sekolah.
Seterusnya,
sokongan dan dorongan daripada pihak sekolah amat diperlukan untuk menyokong
kanak-kanak khas. Dengan bantuan daripada pelbagai pihak, nescaya pihak sekolah
mampu mewujudkan sebuah sekolah pendidikan khas yang kondusif.
PAKAR PERUBATAN
Pakar
perubatan turut memberikan sumbangan dan berkolaborasi untuk memberi khidmat
sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak khas. Pakar perubatan seperti doktor
memainkan peranan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak
khas serta mengesan punca kecacatan. Dengan ini, kecacatan yang dihadapi
mungkin boleh dipulihkan dan mendapatkan rawatan yang susulan untuk kesembuhan.
Walaupun kesembuhannya bukan untuk keseluruhan menjadi seperti kanak-kanak
biasa namun ia mampu mengurangkan penderitaan yang dihadapi oleh kanak-kanak
khas ini.
Menurut
artikel yang saya baca, doktor pakar kanak-kanak atau doktor spiktatri sahaja
yang layak untuk membuat ujian penempatan untuk kanak-kanak khas terutama untuk
kanak-kanak lembam. Doktor memerlukan jangka masa yang agak lama (antara dua
minggu ke sebulan) untuk mengesahkan kecacatan yang dialami oleh kanak-kanak
selain beberapa siri terapi dan tahap kematangan pemikirannya akan diukur.
Dengan kelulusan daripada doktor akan menentukan kanak-kanak tersebut harus
dimasukkan ke kelas Pendidikan Khas atau tidak.
Selain
itu, terdapat juga pakar perubatan prediatrik yang berperanan untuk mengenal
pasti masalah yang berpunca daripada genetik, kewarisan, prenatal dan postnatal.
Doktor neurologi pula melakukan diagnostik dan mengubati penyakit seperti
kecacatan otak, hiperaktif dan memberi ubat "Ritalin" untuk mengawal
keaktifan. Pakar perubatan audiologi mengesan fungsi pendengaran dan oftomologi
menaksir penglihatan pelajar.
Dengan
itu, pakar perubatan amat penting untuk mengesahkan masalah yang dialami oleh
kanak-kanak berkeperluan khas dengan lebih terperinci.
KEMENTERIAN KEBAJIKAN MASYARAKAT
Kementerian
Kebajikan ditubuhkan dalam tahun 1946. Ia merupakan salah sebuah agensi
kerajaan yang memainkan peranan dalam pembangunan sosial. Ia ditubuhkan untuk
membantu dan menjaga kebajikan masyarakat supaya tidak tersisih dalam usaha
untuk membangun masyarakat ke arah kesejahteraan.
Daripada
portal rasmi Kementerian Kebajikan Masyarakat yang saya kunjungi, mereka telah
melakukan pelbagai inisiatif untuk membantu orang kurang upaya (OKU) dalam
bidang advokasi, aksesibiliti, kesihatan, pemulihan, pendidikan, pekerjaan,
keselamatan diri dan perlindungan sosial, perkhidmatan sokongan, kewangan dan
lain-lain. Kesemua usaha yang dilakukan untuk orang kurang upaya adalah untuk
memastikan kebajikan mereka terjaga dari semua aspek kehidupan.
Untuk kanak-kanak pendidikan khas pula,
kementerian ini mengutamakan kepentingan terbaik dalam setiap program
perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA,
KELUARGA DAN MASYARAKAT
Menurut laman web rasmi Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mereka menyediakan perkhidmatan
pendidikan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah cacat fizikal teruk, rencatan
akal sederhana dan teruk, pelbagai kecacatan dan kecacatan yang tidak
membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolah-sekolah yang disediakan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kebajikan Masyarakat
bersama-sama menjaga kebajikan kanak-kanak khas.
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
telah menyediakan pelbagai program pendidikan untuk kanak-kanak khas di
Malaysia supaya mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak biasa. Terdapat tiga
kategori utama program pendidikan khas iaitu, program Pendidikan Khas Masalah
Pendengaran, program Pendidikan Khas Masalah Penglihatan dan program Pendidikan
Khas Integrasi.
Menurut sumber yang saya peroleh
daripada internet, KPM telah melaksanakan pendidikan khas melalui sekolah khas
untuk murid-murid bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran. Manakala
program pendidikan khas integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan
khas masalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan. Program tersebut
diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah
teknik atau vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran
secara pengasingan dan separa inklusif. Program pendidikan khas yang ditawarkan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melibatkan pendidikan peringkat prasekolah,
sekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan peringkat menengah menyediakan
dua jenis aliran iaitu akademik dan teknik atau vokasional. Manakala tempoh
pengajian bagi murid-murid berkeperluan khas sekolah rendah selama enam tahun,
sementara bagi sekolah menengah selama lima tahun. Namun demikian, tempoh
tersebut boleh dilanjutkan sehingga maksimum dua tahun mengikut keperluan
murid-murid berkenaan.
Segala usaha yang
dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk menjaga kepentingan
kanak-kanak istimewa ini. Mereka telah memainkan peranan yang maksimum untuk
mempertahankan kanak-kanak istimewa supaya mendapat kemudahan pendidikan yang
mencukupi. Hal ini membuktikan bahawa kanak-kanak istimewa turut boleh
mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak normal walaupun mereka kelainan
upaya.
BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)
Khidmat
sokongan dalam Pendidikan Khas turut melibatkan badan-badan bukan kerajaan yang
terdiri daripada organisasi, persatuan dan badan-badan sukarelawan yang
bersama-sama membantu membela nasib orang-orang kurang upaya. Tujuan persatuan
organisasi dan badan-badan sukarelawan ini ditubuhkan untuk memberi semangat
dan sokongan dari segi fizikal dan mental untuk orang-orang kurang upaya supaya
bersemangat untuk hidup kerana mereka turut diperlukan dalam membangunkan
negara ini agar lebih maju.
Daripada
persatuan-persatuan yang ditubuhkan menunjukkan kesedaran orang ramai terhadap
kanak-kanak istimewa dan pelbagai aktiviti telah dirancang serta dilaksanakan
untuk mereka. Berdasarkan kajian yang saya buat, terdapat banyak persatuan yang
ditubuhkan di Malaysia untuk membantu warga kurang upaya antaranya Persatuan
Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), TATPUTRA PERKIM, Cleft Lip and Pelate
Association of Malaysia, Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Persatuan Orang Buta
Malaysia, Persatuan Kanak-Kanak Spastik (Spastic Children`s Association) dan
banyak lagi.
Setiap
persatuan-persatuan ini memainkan peranan yang tersendiri antaranya adalah
Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang mengesan dan menjalankan
rawatan, pembelajaran dan penerimaan kanak-kanak autisme. NASOM juga memberi
nasihat dan bantuan kepada keluarga kanak-kanak autisme serta memberi
penerangan kepda ibu bapa, para profesional dan orang ramai. Selain itu,
TASPUTRA PERKIM yang berperanan memberi asuhan-asuhan kepada kanak-kanak
berkeperluan khas dan kanak-kanak cacat anggota dan mental. Mereka diberi
latihan kekuatan mental dan fizikal. Seterusnya, Persatuan Kanak-Kanak Spastik
yang menyediakan intervensi awal untuk kanak-kanak kerencatan mental di antara
2 hingga 6 tahun. Yayasan Sindrom Down Kiwanis pula membantu murid-murid
sindrom down mendapat pelajaran serta latihan kemahiran hidup sebelum dihantar
ke sekolah khas kerajaan.
Pada
pendapat saya, semua badan-badan bukan kerajaan ini menjadi tulang belakang
kepada pihak kerajaan untuk memberi khidmat sokongan kepada orang-orang kurang
upaya. Dengan kewujudan badan-badan ini, struktur organisasi dan kebajikan Pendidikan
Khas serta orang-orang kurang upaya lebih terjamin.
KOMUNITI
Komuniti
seperti masyarakat setempat dan media massa turut tidak terlepas menjadi salah
sebuah organisasi yang membantu dalam memberi khidmat sokongan kepada
kanak-kanak pendidikan khas. Masyarakat setempat berperanan untuk menyokong
segala usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan
supaya segala program yang dijalankan berjalan dengan lancar. Masyarakat juga
perlu mengambil berat mengenai kanak-kanak kurang upaya dengan tidak menghina
atau mencerca kekurangan yang dimiliki oleh kanak-kanak ini. Hal ini mampu
mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan aman. Selain itu, masyarakat
digalakkan untuk menyertai persatuan-persatuan sebagai tanda sokongan dan
sekaligus menunjukkan keprihatinan terhadap golongan kurang upaya.
Media
massa pula turut memainkan peranan dalam membantu Pendidikan Khas. Daripada
keratan-keratan akhbar dan kaca televisyen memperlihatkan usaha media massa
untuk menyebarkan maklumat dan segala hal yang berkaitan dengan golongan kurang
upaya ini dari sudut bantuan yang diberikan dan keperihatinan daripada pihak
yang berkuasa. Setiap mesej yang disampaikan akan diterima oleh orang ramai
dengan cepat dan tepat kerana kini media massa merupakan salah satu Teknologi
Maklumat dan Komunikasi yang amat berleluasa penggunaannya.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan memerlukan perhatian dan penjagaan
yang khusus. Mereka memerlukan kasih sayang, perhatian, dan belaian daripada
orang sekeliling. Hal ini memerlukan kesabaran yang tinggi sehingga boleh
menjadikan orang sekeliling sebagai pemberi semangat untuk kanak-kanak ini
untuk terus bertahan hidup.
Dengan itu, kolaborasi
daripada pelbagai pihak dan agensi memberikan impak yang sangat positif kepada
kanak-kanak berkeperluan khas terutama dari segi pendidikan dan kebajikan
mereka. Bidang pendidikan amat penting dalam kehidupan setiap manusia tidak
kira kanak-kanak khas ataupun kanak-kanak normal. Pendidikan adalah hak semua,
tidak kira untuk siapa, di mana dan bagaimana ia dikendalikan. Mengikut The
Nasional Coalition of Educational Equality Advocates, semua orang harus
diberikan peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti tinggi
tanpa mengira warna kulit, agama, jantina, umur, kecacatan, tempat asal atau kelas
sosial. Kebajikan mereka pula perlu sentiasa dijaga supaya mereka berpeluang
mendapatkan segala kemudahan yang diberikan seperti kanak-kanak biasa dan tidak
ketinggalan. Pelbagai masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak khas dapat
dikurangkan sekiranya wujud kerjasama daripada pelbagai pihak. Khidmat sokongan
ini membantu dalam ibu bapa dan guru khas dalam mewujudkan suasana pengajaran
proaktif.
No comments:
Post a Comment